سْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِاارَّحِيم
Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah masih lagi diberi
peluang bernafas untuk terus menyampaikan pengisian yang
bermanfaat. Untuk entry hari ini, ana nak kongsi tentang "Lelaki
dan Perempuan, imej siapa yang lebih utama?". Entry ini ana
dapat dari seorang akhi. Alhamdulillah sangat-sangat bermakna. :)
Yang menjadikan seorang wanita itu berharga, bukanlah pada kecantikan dan harga pakaian yang dipakainya.
Bukan juga perhiasan dan barang-barang kemas yang menjadikan nilai wanita itu tinggi.
Tetapi yang menjadikan wanita itu ada nilai dan jadi rebutan syurga adalah kerana imannya.
Ketika ramai yang berebut-rebut mengambil contoh dan menjadikan wanita-wanita Barat dan artis-artis seksi sebagai idola mereka, kalian ada contoh dan ikon yang lebih baik untuk diteladani dalam kehidupan kalian, wahai wanita.
Saya sangat rawan melihat sebilangan saudara-saudara perempuan saya mengambil contoh dan mengagung-agungkan ikon-ikon Barat seperti Britney Spears, Rebecca Black, dan artis-artis tanah air yang berpakaian seksi.
Lagilah bertambah pedih hati saya bila ada sebilangan lelaki muslim yang berkeinginan saudara-saudara muslimahnya itu jadi seperti artis-artis itu, berpakaian menjolok mata seperti mereka itu, dan cara bergaul yang 'mudah sangat masuk' dengan yang berlawanan jantina.
Saya melihat, lelaki-lelaki begini akhirnya hanya mengundang lebih banyak bencana kepada muslimah kerana mereka membenarkan itu semua berlaku ketika mereka berada bersama dengan wanita-wanita muslimah ini.
Ketika ada kerja projek di universiti, 'sikit-sikit' punya trend maksiat jadi kebiasaan.
Ketika berjumpa di pejabat, kadang yang lebih bulu, yang cuba mula wujudkan 'suasana' dulu adalah lelaki juga.
Ketika berada bersama dengan keluarganya, dia membiarkan adik-adik perempuan dan kakak-kakaknya bebas dengan apa yang mereka suka tanpa ada rasa ingin meluruskan mereka.
Ketika di FB pun, mereka sibuk memberi komen tidak sepatutnya dan chat yang bukan-bukan.
SAYA SEORANG LELAKI JUGA
Saya boleh bayangkan betapa sedihnya kalau adik-beradik perempuan saya sendiri tidak menjaga peribadinya ketika di luar. Bukanlah kerana menjaga imej saya, tetapi kerana mereka adalah saudara saya sendiri, apatah lagi keluarga saya sendiri.
Bagi saya, tidak ada apa yang mahal pada imej diri saya. Asalkan saudara-saudara muslimah saya terjaga, bagi saya itu sudah cukup. Saya tidak perlu manusia untuk jaga imej saya, saya cuma perlu Dia (Allah) untuk jaga imej saya.
Maka, untuk itu, saya pun mengharapkan yang serupa dari lelaki-lelaki yang sejantina dengan saya.
Tidak perlulah kerana nak jaga standard orang ramai yang sudah jadi standard kita, maka kita benarkan apa yang tidak baik dilakukan oleh saudara muslimah kita. Apalagi jika kita sendiri yang membenarkan dan mendorong pula saudara muslimah kita untuk hidup gaya bebas seperti ikon-ikon dan artis-artis yang saya sebutkan itu.
Nanti akan ada yang kata, 'Ah, tak macholah macam ni. Takde awek nak bawa tepi.'
'Poyolah kau. Sejak bila jadi alim ni? Ke kau dah jadi gay sekarang ni? Haha. Normal lah semua orang ada awek.'
'Eh, rileklah. Aku bukan buat apapun. Pegang tangan dia je pun.'
Saya lelaki juga. Saya ada perasaan juga terhadap yang berlawanan jantina.
Ya, itu memang fitrah. Tak dinafikan.
Tetapi, saya tidak bawa saudara muslimah saya sendiri yang belum ada ikatan yang sah dengan saya berjalan di tepi saya, sambil saya memegang pinggangnya, memeluknya tanpa segan silu, berjalan berpegangan tangan, memasukkan gambar saya dengannya dalam keadaan-keadaan begitu di dalam FB tanpa rasa malu.
Anda bayangkan sendiri wahai lelaki. Bayangkan kalau ada seorang lelaki yang sedang jalan-jalan dengan seorang wanita yang belum dikahwininya lagi dengan keadaan yang saya sebutkan tadi, dan wanita itu adalah ibu anda sendiri, ataupun kakak anda sendiri, atau adik perempuan anda sendiri.
Mahukah itu berlaku pada ibu, adik perempuan anda, kakak anda, anak, bahkan isteri anda sendiri?
Tidak. Sudah tentu tidak.
Maka, kalau tidak mahu, wahai lelaki muslim, pleaselah.
Yang menjatuhkan maruah anda bukanlah ketika anda tidak memiliki pasangan couple untuk dibawa di sebelah anda, tetapi ketika anda tidak miliki Allah untuk dibawa di dalam kehidupan anda.
Anda boleh bangga, seronok, ghairah dengan saudara muslimah yang anda pegang di sebelah anda.
Tetapi, sebenarnya jauh dalam hati anda, ada kekosongan yang tidak terisi. Apa kekosongan itu?
Anda tidak tahu ke mana anda sedang dan hendak bawa pergi muslimah itu.
Ke syurga atau ke neraka dengan cara yang begitu?
SAYA ADA ADIK-BERADIK PEREMPUAN JUGA
Jujurnya saya katakan, saya sangat rasa risau melihat ancaman suasana yang ada sekarang.
Saya sangat risau, sebab dalam hidup saya sehingga sekarang, ada dua orang perempuan yang saya sangat cinta selepas ibu saya. Siapa mereka?
Mereka adalah kakak dan adik saya sendiri.
Sebab itu, saya benci bila lihat ada lelaki yang suka ambil kesempatan terhadap wanita. Nampak wanita cantik sikit, mulalah nak kacau.
Nampak wanita cantik sikit, ekor mata meliar tidak berhenti dan mula berangan-angan kosong.
Saya tidak katakan ini kepada lelaki-lelaki tertentu sahaja, tetapi kepada semua lelaki. Baik yang bersekolah di sekolah agama, yang menghafal Al-Quran di Ma'had Tahfiz, mahupun mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan biasa, belajar dalam bidang agama atau tidak, kalau tidak ada iman bersama, tetap akan lakukan yang sama.
Suasana sekarang bukannya seperti dulu. Kalau zaman Khalifah Al-Mu'tasim, seorang wanita muslimah sahaja diganggu oleh musuh, habis digegarkan musuhnya dengan bala tentera seluas timur barat.
Kalau sekarang, beribu-ribu wanita muslimah diganggu, di mana ada lagi Al-Mu'tasim yang ingin pertahankan maruah mereka?
Siapakah di kalangan lelaki yang memiliki peribadi al-Mu'tasim hari ini?
Menjaga dan memelihara mahalnya harga peribadi saudara muslimahnya.
KALIAN PUN WAHAI MUSLIMAH, JAGALAH DIRI SEBAIK-BAIKNYA
Tidak bermakna, kalau lelaki sudah benar-benar berusaha menjaga harga kalian, tetapi kalian pula yang mencalarkannya.
Peliharalah peribadi kalian juga.
Yang membuatkan muslimah ini mahal, bukanlah yang sibuk dengan barang solek dan berhias di depan cermin untuk cantiknya sahaja.
Yang menjadikan kalian tinggi nilai, bukanlah juga pada fesyen-fesyen pakaian kalian.
Bukan juga pada putih ke, atau cantiknya muka kalian. Tidak. Bukan di situ letaknya nilai kalian.
Itu hanya nilai dunia kalian. Jagalah sekadar yang perlu. Nilai dunia akan hancur dan rosak. Kalau kalian berlebihan untuk itu, kalian juga sedang menuju kehancuran dan kerosakan.
Peganglah dan jagalah neraca akhirat dengan betul.
Biar ada dalam diri kita sebelum apapun, redha Allah tetap adalah keutamaan kita.
Maka, bergeraklah dan berjalanlah di atas muka bumi.
Kalau Allah sudah jadi prinsip utama, maka tidak ada kerisauan apa-apa lagi.
Ketika orang lain mengambil contoh dan mengaungkan ikon dan artis Barat, kita ada wanita-wanita muslimah zaman Nabi untuk diteladani dan diikuti.
Ketika orang lain memandang couple itu manis dan suatu kebiasaan, kita tetap memandang itu adalah satu yang rosak dan kemungkaran.
PENUTUP : LELAKI DAN PEREMPUAN, MASING-MASING ADA PERANAN, SALINGLAH MELENGKAPKAN
Janganlah kerana terlalu menjaga batas, sehingga dalam perkara-perkara dharurat pun, kita jadi terlalu syadid (keras) juga.
Dalam mesyuarat-mesyuarat yang perlukan pandangan, kita suarakanlah.
Kalau perlu adakan perjumpaan untuk bincangkan tentang sesuatu program atau isu setempat, maka adakanlah.
Jangan tersilap dalam menilai syara'.
Dalam hal-hal tertentu yang betul-betul dhoruri (penting), tak ada masalah lelaki dan perempuan untuk duduk berbincang bersama. Itupun, ada batas yang perlu dijaga.
Berbincang pada kadar hadnya. Berbincang yang perlu sahaja. Tidak perlu sampai bertanya khabar, makan ke belum dan sebagainya yang tidak berkaitan pun dengan topik perbincangan kita itu.
Lelaki dan perempuan. Muslim dan muslimah.
Masing-masing ada peranan sendiri. Perlu saling melengkapi.
Lelaki kalau sibuk dengan diri sendiri sahaja, tunggu nak kahwin baru nak ambil berat dengan saudara muslimahnya, maka akan timbul masalah juga nanti.
Perempuan pun, kalau pentingkan diri, rasa nak buat apa yang mereka nak buat, pun akan menimbulkan masalah juga.
Kita, lelaki, ada tanggungjawab kita terhadap muslimah. Cukuplah banyak ayat Al-Quran menyatakan tentang lelaki kemudian diikuti oleh perempuan. Ada di bahu kita sebenarnya, tanggungjawab untuk memastikan saudara-saudara muslimah kita terjaga dengan baik peribadinya. Dan tanggungjawab itu tidak mungkin dapat kita laksanakan sebelum kita benar-benar menjaga imej Allah di dalam peribadi kita.
Kalian, wanita, ada tanggungjawab kalian terhadap ummah. Tidak ada kalian, tidak adalah ummah ini. Maka, jagalah diri kalian. Janganlah senang-senang serah hati dan serah diri pada orang yang baru dikenali baru sebulan dua.
Ukuran seorang muslimah yang benar-benar menjaga peribadinya itu bagi saya, bukanlah dengan hanya bertudung labuh semata, tetapi pada yang benar-benar memelihara akhlaknya, pergaulan dan percakapnnya. Kalian tidak mungkin mampu membentuk peribadi muslimah sebelum kalian benar-benar menjaga imej Allah dalam hati kalian.
Maka, sebenarnya lelaki dan perempuan adalah saling memerlukan.
Jagalah imej Allah dalam hati kalian, Allah akan jaga imej kalian di mata manusia.
Afdholul Rahman Che Ani
Nota Hati
Irbid, Jordan
# Semoga pengisian ini memberi banyak manfaat kepada kita semua. InsyaALLAH. :)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment